Khamis, 29 Oktober 2009

teori semantik

TEORI-TEORI DALAM KAJIAN SEMANTIK

Teori adalah pendapat atau pandangan yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara. Ia merupakan prinsip atau dasar pembentukan sesuatu ilmu. Teori linguistik merupakan prinsip dan dasar untuk menganalisis dan menghuraikan data bahasa. Manakala teori semantik adalah teori yang dapat meletakkan makna pada setiap perkataan dan ayat yang berkaitan dengannya dalam sesuatu bahasa.
Kempson (1991:2) telah membicarakan tentang teori semantik yang merupakan sebahagian daripada teori linguistik am. Teori-teori tersebut termasuklah seperti Teori Imejan, Teori Behaviorisme, Teori Analisis Komponen dan Teori Logik Simbolik.

Bagaimanapun, untuk memenuhi tuntutan kepadaan, satu-satu teori semantik itu mestilah memenuhi sekurang-kurangnya tiga syarat, iaitu :
i) Mesti mencerap bagi mana-mana bahasa sifat makna perkataan dan makna ayat, dan menjelaskan sifat hubungan antara unsur tersebut.
ii) Mesti berupaya meramalkan ketaksaan dalam bentuk-bentuk unsur bahasa, samada perkataan atau ayat.
iii) Mesti mencirikan dan menjelaskan hubungan sistematik antara perkataan dan antara ayat sesuatu bahasa, iaitu teori tersebut mesti member huraian yang agak jelas hubungan sinonim, perangkuman logik, penaabiran, pertentangan dan sebagainya.
Mana-mana teori yang gagal menepati ketiga-tiga syarat di atas, samada antaranya atau semuanya sekali, pastilah tidak memadai samada dari segi prinsipnya atau pada bahagian tertentu teori itu (Kempson 1991:3-5).

a) Teori Imejan

Teori ini merupakan pendekatan saintifik dalam penghuraian makna yang digunakan secara meluas oleh pengkaji-pengkaji linguistik tradisional. Mereka bersetuju bahawa setiap perkataan yang disebut, didengar dan dibaca akan dapat ditafsirkan secara automatik oleh fikiran masing-masing.
Teori yang juga dikenali sebagai Teori Imej Makna ini didefinisikan sebagai imej makna yang tergambar dalam minda penutur atau pendengar apabila sesuatu benda atau perkara disebut. Dalam erti kata lain, makna kata dihuraikan berdasarkan gambaran yang ada dalam fikiran seseorang. Sesuatu perkataan yang dibaca, didengar dan disebut tergambar dalam fikiran dan ditafsir sehingga memberi makna yang abstrak
Imej yang dimaksudkan ini bagaimanapun tidak bersifat visual kerana ia tidak menepati gambaran sebenar yang dimaksudkan secara tepat. Hal ini bergantung kepada keluasan pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh individu itu sendiri. Justeru, kekurangan teori ini adalah imej yang tergambar dalam fikiran seseorang itu betul atau salah. Individu itu mungkin mempunyai beberapa imej bagi satu ungkapan atau pun dalam situasi yang lain mungkin wujud pula beberapa ungkapan yang berkongsi imej yang sama. Pada hakikatnya, satu nama boleh mempunyai lebih daripada satu pengertian dan juga sebaliknya.
Misalnya frasa ‘bunga di jambangan’. Farid yang kurang membaca dan tinggal di kawasan pedalaman mungkin hanya memahami frasa ini sebagai beberapa kuntum bunga di dalam pasu yang dijadikan sebagai hiasan di atas meja. Sebaliknya bagi Asiah yang rajin menelaah buku dan majalah mungkin memahami bahawa frasa itu mempunyai dua maksud, iaitu bunga hiasan dan anak gadis yang diibaratkan seperti bunga dalam masyarakat Melayu.
Contoh kedua ialah ‘tok mudim’. Bagi golongan orang dewasa khususnya pada zaman dahulu, tok mudim ini dihormati kerana jasanya mengkhatankan anak-anak kecil di kampung. Khidmat yang diberikan kepada masyarakat setempat ini amat dihargai kerana kemudahan pada zaman itu adalah sukar didapati dan bayaran yang dikenakan untuk berkhatan di klinik kebanyakannya di luar kemampuan masyarakat.
Situasi yang berbeza berlaku jika panggilan ‘tok mudim’ ini disebut kepada kanak-kanak lelaki. Semerta, akan terbayanglah dalam fikiran mereka imej lelaki tua yang mempunyai raut wajah yang garang, dihiasi misai lebat dan melingkung di hujungnya sambil memegang pisau yang tajam berkilat. Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila terjadi kes kanak-kanak yang bakal berkhatan menghilangkan diri apabila masa untuk upacara itu sudah tiba.

b)Teori Behaviorisme

Mazhab behavioris yang diperkenalkan oleh Ivan Pavlov dan dikembangkan oleh Thorndike dan Skinner ini berpendapat bahawa pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Mereka menumpukan ujian kepada perhubungan antara ‘rangsangan’ dan ‘gerakbalas’ yang menghasilkan perubahan tingkahlaku. Bahasa dianggap wujud hasil daripada operasi rangsangan (R) dan gerak balas/stimulus (S) ini.
Secara umumnya teori behavioris menyatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran akan mempengaruhi segala perbuatan atau tingkah laku pelajar sama ada baik atau sebaliknya. Teori ini juga menjelaskan bahawa tingkah laku pelajar boleh diperhatikan, dikawal dan diramal.
Dalam bidang semantik pula, Leonard Bloomfield (1933) menggunakan teori ini dengan cara menganalisis makna berdasarkan tingkah laku yang dapat diperhatikan dan jika tidak ia hanya akan dianggap sebagai andaian sahaja. Dalam erti kata lain,individu akan dapat menggunakan dan membezakan perkataan yang digunakannya dengan betul hasil daripada tindak balas yang diberi oleh orang lain kepadanya.
Empat ciri umum teori behaviorisme ialah menolak konsep mentalisme yang mengkaji pemikiran dan konsep abstrak data yang dapat disahkan, mempercayai bahawa tingkah laku manusia dan haiwan mempunyai persamaan, tingkah laku manusia dalam berbahasa disebabkan keperluan untuk bersosialisasi dan perlakuan manusia ada hubungan dengan rangsangan (stimulus) dan gerak balas.
Menurut teori ini, makna merupakan bentuk tindak balas yang terhasil daripada rangsangan yang diperoleh oleh penutur dan pendengar dalam komunikasi yang berlangsung antara mereka. Rangsangan tersebut berlaku samada melalui proses perkaitan antara proses mendengar dengan bertutur atau hasil pembelajaran.
Osgood (1980) telah menjalankan kajian semantik yang lebih menekankan proses penutur menghasilkan ujaran dan tindak balas pendengar untuk memahami ujaran tersebut. Hal ini bermaksud perlu wujudnya situasi saling memahami makna yang sama bagi kata-kata yang digunakan.
Contohnya seseorang itu akan marah jika dikatakan ‘Engkau lambat seperti siput” kerana dia mampu mengaitkan makna kata ‘lambat seperti siput’ itu dengan ciri haiwan ‘siput’ yang dimaksudkan. Sebaliknya, kita tidak menggunakan ujaran ‘Engkau lambat seperti kumbang’ kerana makna kata ‘lambat seperti kumbang’ itu tidak dapat dikaitkan dengan ciri atau sifat haiwan yang dimaksudkan.
Contoh mudah lain adalah “Emak, saya lapar. Nak makan’’ kata Hafiz. Hafiz yang berasa lapar meminta makanan daripada emaknya. Lapar ialah rangsangan, manakala perbuatan meminta makanan daripada emak ialah gerak balasnya. Kedua-dua unsur ini didapati berturutan. Justeru, adalah dapat disimpulkan di sini bahawa hubungan operasi R-------------S ini adalah mampu menghuraikan makna ujaran dalam aspek semantik.

c) Teori Analisis Komponen

Teori ini menghuraikan kata-kata yang mempunyai hubungan makna antara satu dengan yang lain. Hubungan ini dikenali sebagai struktur leksikal. Makna bagi sesuatu perkataan bukan dianalisis sebagai satu unit, tetapi secara terperinci sebagai satu komponen-komponen yang kompleks. Komponen tersebut dinamakan sebagai komponen semantik yang terdiri dari perbendaharaan kata sesuatu bahasa. Secara ringkasnya teori ini digunakan untuk menentukan istilah berdasarkan hubungan kekeluargaan sesuatu perkataan/ujaran. Di samping itu teori ini turut menghuraikan makna perkataan dengan memasukkan unsur pertentangan. Misalnya teruna – dara dan suami – isteri.
Antara perkara yang diperhatikan dalam mengkaji makna melalui teori ini ialah melihat sejumlah ciri rujukan bagi sesuatu perkataan, melihat kemungkinan adanya hubungan rujukan antara sesuatu kata dengan kata yang lain dan melihat ciri khusus bagi kata yang mempunyai hubungan rujukan, iaitu yang membezakan fitur semantik kata itu dengan kata yang lain. Terdapat dua cara yang boleh digunakan untuk memperlihatkan elemen semantik dalam ayat, iaitu yang pertama ialah dengan menganalisis komponen kata yang diberikan, misalnya ‘bunga’. Huraian boleh dilihat dalam rajah di bawah:










Analisis komponen bagi kata ‘bunga’
Kata ‘bunga’ telah dianalisis komponennya sehingga boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu berduri dan tidak berduri. Bunga berduri mempunyai ciri-ciri seperti berbatang keras dan daunnya lebar. Bunga mawar adalah contoh bunga jenis ini. Manakala untuk jenis bunga tidak berduri, antara ciri-cirinya termasuklah berbatang kecil dan lembut, misalnya bunga kekwa dan bunga orkid.
Cara kedua untuk mengenal pasti kewujudan elemen semantik ialah dengan melakukan analisis fitur atau ciri semantik. Fitur atau ciri semantik merupakan hubungan makna bagi sejumlah kata yang masing-masing mempunyai ciri-ciri tersendiri. Tanda (+) dan (-) digunakan dalam analisis ini. Tanda (+) bermaksud ciri tersebut hadir atau wujud pada perkataan yang hendak dianalisis maknanya, manakala tanda (-) pula membawa makna kata itu tidak mempunyai ciri itu. Contoh perkataan seperti ‘makanan’ boleh dianalisis fiturnya seperti berikut :
Nasi Aiskrim Buah-buahan Sayur-sayuran
+ berkhasiat - berkhasiat + berkhasiat + berkhasiat
- lemak + lemak - lemak - lemak
+ tenaga - tenaga + tenaga + tenaga

Analisis fitur semantik bagi kata ‘makanan’.
Huraiannya ialah nasi, buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai khasiat dan memberi tenaga, tetapi tidak mengandungi lemak. Sebaliknya aiskrim merupakan hidangan yang tidak mempunyai khasiat atau pun tenaga, bahkan mengandungi lemak yang boleh menjejaskan kesihatan badan.
Analisis terperinci sedemikian memberikan faedah kepada pengguna bahasa kerana dapat membantu memahami makna semantik sesuatu perkataan yang berhubung dengan makna rujukan. Setelah mengetahui ciri semantik sesuatu perkataan itu juga dapat membantu kita memilih perkataan yang tepat dalam ayat atau sesuatu ujaran, di samping memahami pelbagai kemungkinan makna bagi sesuatu perkataan.
Bagaimanapun antara kekurangan teori ini termasuklah memerlukan proses yang panjang untuk menghuraikan sesuatu makna, makna dianalisis pada peringkat perkataan,bukannya ayat, sukar menentukan komponen-komponen semantik yang khusus untuk menghuraikan makna sesuatu perkataan dan sering terikat dengan hiponim.

d) Teori Logik Simbolik

Teori yang juga dikenali sebagai Analisis Logik atau Analisis Linguistik ini adalah lebih lengkap dan menyeluruh jika dibandingkan dengan ketiga-tiga teori sebelumnya. Hal ini adalah kerana teori ini cuba mengkaji makna bukan sahaja dari peringkat perkataan, malahan juga pada peringkat ayat dan perlakuan manusia, sebagai reaksi kepada tanggapan yang mereka terima mengenai sesuatu perkataan. Bahasa menurut definisi teori ini ialah sejenis sistem lambang.
Menurut teori ini, ciri-ciri situasi dan tingkah laku yang mengiringi bahasa adalah sebahagian makna perkataan itu. Takrif makna seperti ini adalah takrif fungsional. Ia adalah pendekatan yang lebih berkesan untuk mengkaji makna kerana ia mengambil kira proses bagaimana sesuatu perkara itu mendapat maknanya. Teori logik simbolik mengatakan sesuatu perkataan memperoleh maknanya melalui apa yang disebut dengan istilah keperihalan keadaan atau konteks situasi yang wujud semasa perkataan itu digunakan. Kajian makna yang mengutamakan tingkah laku melihat bahasa sebagai sejenis tingkah laku. Oleh itu, bagi teori ini, bahasa bukan setakat petunjuk apa yang ada dalam fikiran manusia semata-mata.
Terdapat tiga sub bahagian dalam kajian yang diteliti oleh teori ini, iaitu semantik, sintaktik dan pragmatik. Semantik dalam teori ini didefinisikan sebagai kajian tentang hubungan di antara simbol dengan rujukan atau boleh juga dikatakan sebagai hubungan antara perkataan dengan benda. Rujukan atau benda tidak terhad bilangannya di dalam sesuatu bahasa kerana sesuatu lambang itu mewakili sekumpulan benda atau pun peristiwa yang mempunyai persamaan antara satu dengan lain. Manakala simbol pula biasanya dirujuk kepada kumpulan benda yang mempunyai persamaan.
Sintaktik pula merupakan bidang kajian yang mengkaji hubungan di antara perkataan dengan perkataan lain untuk menentukan makna. Makna sesuatu ayat bukan hanya diperoleh dengan mencampurkan makna satu perkataan dengan perkataan lain dalam ayat itu. Sebaliknya, makna ayat juga bergantung kepada susunan perkataan dalam ayat. Contohnya istilah ‘orang kecil’ boleh membawa maksud orang yang saiz badannya kecil atau juga orang yang berpangkat rendah atau biasa sahaja. Selain itu misalan seperti rantai tangan dengan tangan rantai, itik telur dengan telur itik dan Korea Selatan dengan Selatan Korea mempunyai tafsiran yang berbeza.
Manakala pragmatik pula ialah bidang kajian yang mengkaji hubungan antara lambang dengan tingkah laku. Jika dibandingkan dengan kedua-dua sub bahagian teori Logik Simbolik di atas, pragmatik didapati lebih menarik kerana dalam proses komunikasi, makna dalam sesuatu perkataan itu dinilai daripada sudut adakah makna itu sampai kepada penerimanya atau tidak. Justeru, kajian makna jenis ini bergantung kepada bagaimana perkataan menyebabkan manusia bertindak balas melalui tingkah laku.
Contohnya seperti panggilan perempuan, wanita dan betina. Wanita ialah perkataan paling manis untuk seorang perempuan, manakala betina ialah panggilan untuk seorang perempuan yang rendah akhlaknya. Ketiga-tiga panggilan ini merujuk kepada makna yang sama, iaitu seseorang yang mempunyai jantina perempuan. Bagaimanapun, konteks keadaan individu itu mempengaruhi cara ia dipanggil. Reaksi yang diberi tentulah berbeza-beza apabila dipanggil sebagai wanita, perempuan atau betina.
Tamsilan seterusnya ialah perkataan yang mempunyai unsur keagamaan seperti babi. Bagi masyarakat bukan Islam, haiwan ini tidak diharamkan dalam agama mereka. Bagaimanapun hal yang sebaliknya berlaku dalam masyarakat Islam kerana haiwan itu adalah dilarang sama sekali untuk disentuh, apatah lagi dijadikan makanan. Oleh yang demikian, adalah lebih elok dan sopan jika ia disebut sebagai khinzir sahaja. Selain itu perkataan ‘jamban’ yang merujuk kepada tempat membuang air adalah lebih sopan disebut sebagai tandas atau bilik air.

3 ulasan:

  1. daripada mana boleh saya dapatkan bahan rujukan untuk setiap huraian yang cik berikan? terima kasih.

    BalasPadam
  2. Tahniah,banyak membantu pelajar2 PJJ khasnya.

    BalasPadam
  3. Terima kasih atas maklumat yang dikongsi.

    BalasPadam